Monday, May 4, 2009


Mstar Melaporkan

Selasa Mei 5, 2009

Jenazah Benny Arjuna jadi rebutan keluarga dan Majlis Agama Islam Melaka

Kontroversi menyelubungi pengurusan jenazah Benny Arjuna seketika. Mujurlah perkara itu dapat diselesaikan

MELAKA: Sesuatu yang mengejutkan terjadi apabila jenazah komposer, penerbit, pemuzik dan penulis lirik lagu terkenal Benny Tan Lian Teck, ingin disemadikan.

Jenazah Benny, 56, atau lebih popular dengan nama pena Benny Arjuna atau Muhammad Adam Tan Abdullah, yang meninggal dunia akibat penyakit kronik iaitu pendarahan dalam otak, darah tinggi selain serangan strok pada 3 Mei lalu menjadi rebutan antara keluarganya dan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Benny semasa hidupnya dilaporkan sudah memeluk agama Islam namun dirahsiakan dari keluarga. Mujurlah, perkara sensitif tentang isu agama ini dapat dileraikan secara kompromi oleh keluarga Benny dan MAIM.

Benny diserang strok minggu lalu selepas menyampaikan beberapa lagu di pusat hiburan miliknya, Ben’s Cafe sebelum dia dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Melaka untuk mendapat rawatan lanjut.

Anak jati Melaka berketurunan Baba dan Nyonya itu kemudian terlantar sakit dan dirawat di situ selama empat hari sebelum disahkan meninggal dunia jam 5.50 petang, kelmarin.

Menurut sumber terdekat, jenazah dituntut oleh penguasa MAIM di rumahnya di Jalan Nangka, Taman Nabi, Melaka pada pukul 9 pagi ini.

Kata Pegawai Dakwah Mualaf Balai Islam Melaka, Irwansyah Pohin, jenazah Allahyarham Benny ditahan sementara oleh MAIM disebabkan masalah pada kad pengenalannya yang tidak ditukar status agama.

Bagaimanapun, keluarga Benny ingin menyempurnakan upacara pembakaran mengikut tradisi orang Cina.

“Keranda kosong tanpa jenazah Benny itu dihantar ke krematorium di Jelutong pada pukul 11 pagi,” katanya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Air Keroh pada pukul 2 petang ini.

Namun menurut pegawai dakwah Muaalaf Balai Islam Melaka, Benny telah memeluk agama Islam sejak 5 Mac 2003 di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Kuala Lumpur.

Benny dilahirkan pada 20 Disember, 1953. Arwah juga merupakan anak ketiga daripada 10 beradik meninggalkan seorang anak lelaki kini berusia 16 tahun tahun hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya yang kini menetap di Johor Bahru.

Berkebolehan bermain pelbagai alatan muzik termasuk gitar, piano dan harmonika, Benny antara karyawan yang turut menyumbang kepada perkembangan industri muzik dan seni tanah air.

Menurut sumber terdekat dengan keluarga Benny, arwah merupakan ‘anak emas’ ibunya.

Sementara itu, ‘show promoter’ Ali Bakar berkata dia mengenali arwah Benny sejak 20 tahun lalu dan mereka pernah menjadi rakan sebilik selama tujuh tahun pada tahun 80-an.

“Apa yang saya boleh katakan tentang arwah, dia merupakan seorang perahsia dan misteri. Dia sudah lama berminat dengan agama Islam seawal tahun 1990 namun dia rahsiakan daripada pengetahuan keluarganya,” kata Ali.

Sepanjang arwah hidup, dia pernah berkhidmat sebagai penyelaras artis dan menyelaras ‘Battle of The Band’.

"Arwah juga pernah menggubah lagu untuk Fiq dan Def Gab C, menulis lirik lagu Alif Ba Ta Duniaku (Awie) dan Pelamin Anganku Musnah (Azie). Benny banyak menghasilkan lagu-lagu hits.

"Dia juga pernah menjadi pengasas dan komposer kumpulan Freshies. Arwah merupakan rakan seangkatan dengan Lord (Ella & The Boys), Frankie Cheah, Poe, Aziz Bakar, Awie Wings dan Zainal Rampa," kata Ali Bakar.

Arwah Ben juga menguruskan sebuah kafe makan bernama Ben’s Cafe, terletak di Jonker Walk, yang ditubuhkan pada bulan November 2004.

Kafe ini sungguh unik kerana ia menyajikan hiburan pada waktu malam selain menyajikan hidangan berbagai jenis dari tempatan ke Western.

Benny adalah seorang veteran dalam industri hiburan pernah menubuh dan menganggotai sebuah kumpulan reggae bernama “NoNama” (Poe dan Rahim Hamzah) late 80’s.

Apa saja yang dilakukan oleh Benny sepanjang hayatnya adalah berkisar dengan muzik dan Ben’s Cafe adalah kesinambungan cintanya pada muzik.




No comments:

Post a Comment